Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (SMKTTDI) yang terletak di Jalan Leong Yew Koh, Taman Tun Dr. Ismail telah mula membuka lembaran sejarahnya apabila sekolah ini dirasmikan sebagai sekolah yang menawarkan pendidikan menengah pada 18 Ogos 1980. Pada awal penubuhannya, sekolah ini hanya beroperasi dengan bilangan guru seramai 6 orang dan 136 orang pelajar. Pada awalnya hanya terdapat 2 buah blok bangunan, kira-kira 8 buah kelas dan hanya terdapat sebuah kelas aliran sains. Pengetua sekolah  pada masa itu ialah En. Zakaria bin Yahya yang berkhidmat sehingga tahun 1982. Lagu kebanggaan sekolah ini telah dicipta oleh En. Malik dan liriknya digubah oleh En. Mahzan Manan. Lencana sekolah yang menjadi identiti sekolah telah direka oleh En. Halim Azhar bin Sulaiman iaitu bekas Ketua Pelajar pada tahun 1981 dengan menggunakan warna kuning, biru dan merah serta bersimbolkan bulan sabit, bintang dan obor.

  Ketika itu, SMK Taman Tun Dr. Ismail menerima pelajar-pelajar yang tinggal di sekitar Taman Tun Dr. Ismail, Sungai Penchala dan Kayu Ara. Sekolah yang bertaraf Gred B ini hanya menyediakan kemudahan bersifat asas.  Disiplin di sekolah ini agak baik dan pencapaian akademik dan kokurikulum agak sederhana. Sikap sesetengah penduduk di kawasan persekitaran yang lebih cenderung menghantar anak-anak mereka menuntut di sekolah lain juga amat ketara pada masa itu. Faktor utama berlakunya hal ini adalah kerana masih belum banyak kemudahan disediakan di sekolah ini berbanding sekolah-sekolah lain yang telah lama dibuka.

  Lewat tahun 1990-an, sekolah ini mula mengecapi kejayaannya sedikit demi sedikit. Dengan peningkatan status sekolah, infrastruktur sekolah juga bertambah dari tahun ke tahun. Sehingga kini, sekolah ini telah ditadbir oleh 10 orang pengetua dan di bawah pentadbiran mereka, peningkatan prestasi akademik dan kokurikulum semakin terserlah. Pada tahun 1999, sekolah ini telah mendapat penghargaan apabila terpilih sebagai salah sebuah sekolah pengasas Projek Sekolah Bestari. Bermula saat itu, visi dan misi sekolah telah bertemakan budaya bestari. Di samping itu, pelbagai usaha telah dijalankan bagi memastikan visi dan misi sekolah bestari menjadi realiti.  Pada 18 Ogos 2005, genaplah 25 tahun usia SMK Taman Tun Dr. Ismail.  Kini, sekolah ini telah dilengkapi  6 buah blok bangunan iaitu blok Matahari, Utarid, Marikh, Bumi, Neptun dan Zuhrah.  Blok-blok bangunan ini menempatkan 46 buah bilik darjah iaitu  9 buah kelas bagi Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, 9 buah kelas Tingkatan 3, 8 buah kelas Tingkatan 2 dan 10 buah kelas Tingkatan 1. Di samping itu, terdapat juga sebuah surau yang besar, makmal-makmal sains, makmal-makmal komputer, bengkel-bengkel Kemahiran Hidup, Bilik Rawatan, kantin, bilik-bilik khas dan pusat sumber. Landskap sekolah yang semakin hari semakin bertambah seperti Taman Burung Pengakap, Taman Akuatik Pengakap, Taman Bahasa dan Budaya, Taman Sains, Taman Firdausi KRS, Laman Seni dan lukisan-lukisan mural turut menceriakan persekitaran sekolah.

Sekolah ini juga telah mengalami perkembangan pesat dari segi fizikal dan bilangan murid, guru, staf sokongan dan pekerja sekolah juga turut bertambah. Sehingga kini, sekolah ini menempatkan seramai 1 435 orang pelajar dan 85 orang guru. Proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini melibatkan sesi pagi (7.20 pagi -1.50 petang) bagi pelajar-pelajar  Tingkatan 2 hingga 5 dan sesi petang (1.10 – 6.40 petang) bagi  pelajar-pelajar  Tingkatan 1.   Daripada   sejumlah 1, 435 orang pelajar yang menimba ilmu di sekolah ini, 80% ialah  pelajar Melayu, 13% ialah pelajar Cina serta 7%  ialah pelajar India dan kaum-kaum lain. 50% jumlah pelajar di sekolah ini menginap di Taman Tun Dr. Ismail, 30% di Sungai Penchala, 10% di Bukit Lanjan dan selebihnya datang dari Rumah Panjang Kiara, Kayu Ara, Damansara Damai, Bandar Seri Damansara, Kepong, Segambut, Subang dan Paya Jaras, Sungai Buloh.

  Seiring dengan pertambahan ini, kejayaan sekolah dari segi akademik mahupun kokurikulum amat membanggakan dalam tempoh 25 tahun. Oleh itu, sejarah sekolah ini haruslah diingati untuk dijadikan panduan bagi menggapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang kerana sekolah ini telah mencipta nama dan sejarah kegemilangan. SMK Taman Tun Dr. Ismail akan terus bergerak secara proaktif dalam menghadapi pelbagai cabaran bagi memenuhi impian.

SENARAI PENGETUA

EN. ZAKARIA B. YAHYA                                                 1980-1982

PN. KAMARUL AINI BT. HJ THE MOHAMAMED                   1982-1985

EN. MOHD ASHRAF MANSOR HUSSAIN                              1986-1987

DATIN NORJAH BT. AHMAD           1987-1991

PN. SALHA BT. OTHMAN           1992-1995

PN. HALIMAH DATO’ ALI            Feb-Nov 1995

PN. HJH. NOORMAH BT. SUID         Dec 1995-Feb 1998

PN. CHEK ENDAH @ HALIMAHTON BT. YAACOOB    Feb 1998-Jun 1998

DATIN HJH. KHAMISAH BT. HJ. OTHMAN     Jul 1998- Jan 2003

DATIN HJH. HAMIDAH BT. MOHAMED       APR 2003 – Okt 2007

DATIN HJH. HASMAH BT. ABU, AMW      JAN 2008 – 2016

PN HJH MAJIDAH

DATIN FOZIAH BINTI AHMAD

PN HJH. SITI NORA BINTI ALI 2018 – FEB 2024

TN MOHD HAIZIR BIN MOHD SALEH MAC 2024 – sekarang